Tuesday, August 11, 2009

Siapa Kontraktor?

Salam,
Dalam industri pembinaan, seringkali istilah kontraktor biasa digunakan. Siapakah kontraktor? Kontraktor boleh dianggap sebagai individu atau organisasi yang yang mempunyai kontrak dengan individu atau organisasi lain bagi pembinaan bangunan, jambatan dan lain-lain kemudahan. Selain itu kerja-kerja seperti pengubahsuaian, pembaikan, pembekalan dan pemasangan boleh juga termasuk dalam skop kerja kontraktor. Mereka adalah penyedia perkhidmatan yang disebutkan tadi.
Kontraktor boleh dibahagikan kepada 2 kategori:-
1) Kategori pertama adalah kontraktor yang tidak berdaftar
2) Kategori kedua kontraktor berdaftar.
1) Kontraktor tidak berdaftar lazimnya merupakan orang perseorangan dan lebih bersifat individu. Mereka terdiri daripada kontraktor kecil. Modal mereka juga adalah kecil dan terhad. Mereka hanya mengambil kerja-kerja kecil dan berkos rendah. Sebagai contoh kerja membaiki tandas, membaikpulih paip dan memasang kabinet dapur. Kontraktor ini banyak terdapat di kampung-kampung dan pekan kecil. Kemahiran mereka juga adalah terhad untuk kerja-kerja tertentu sahaja dan biasanya berdasarkan pengalaman kerja. Pelanggan mereka adalah orang perseorangan yang dikenali sahaja. Mereka tidak memasuki sebarang tender kerajaan mahupun swasta. Maksud TENDER akan dibincangkan dalam 'post' berikutnya.
2) Kontraktor berdaftar pula adalah mereka yang menjalankan aktiviti melalui syarikat atau organisasi. Mereka adalah tertakluk kepada Akta Syarikat. Dengan menjadi kontraktor berdaftar mereka dibenarkan memasuki tender. Mereka ini boleh menjalankan kerja bagi pihak individu atau mana-mana organisasi kerajaan atau swasta. Di Malaysia, kontraktor perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Kementerian Kewangan (MOF). Mereka perlu mematuhi syarat dan peraturan yang dikenakan oleh badan-badan ini. Kontraktor kategori ini boleh dibahagikan mengikut kemampuan kewangan dan teknikal. Kelas dengan kemampuan kewangan paling rendah adalah berada dalam Kelas F manakala paling tinggi berada pada Kelas A. Kontraktor Kelas F sebagai contoh hanya dibenarkan memasuki tender yang mempunyai nilai kontrak tidak melebihi RM500,000 sahaja. Maksud KONTRAK akan dijelaskan dalam 'post' berikutnya. Selain itu mereka juga hanya menjalankan kerja mengikut kepakaran seperti yang didaftarkan.
Dapat kita fahami, pihak yang memberikan kerja adalah pemilik manakala pihak yang menyiapkan kerja adalah kontraktor. Kontraktor perlu menyiapkan kerja yang diberikan dalam tempoh masa yang ditetapkan, mengikut spesifikasi yang betul dan dengan kualiti kerja yang boleh diterima pakai. Oleh yang demikian, bagi menjamin hak pemilik dan kontraktor, biasanya kontrak akan digunakan. Kontrak boleh difahami secara bertulis atau secara lisan. Jika kontrak dibuat secara lisan ini tidak bermakna kontraktor tidak perlu bertanggungjawab di atas kerja yang disiapkan.
Kontrak secara lisan adalah dalam bentuk arahan daripada pemilik yang perlu dipatuhi. Ini melibatkan kerja yang diberikan oleh orang-perseorangan, ringkas dan berkos rendah. Kontrak secara bertulis atau lebih rasmi dibuat apabila melibatkan kos yang lebih besar. Kontrak bertulis juga berbeza peranannya mengikut harga kontrak. Lebih besar kosnya maka lebih rumit dan terperinci kontrak yang disediakan. Secara am, kontrak akan mengandungi perkara asas seperti tempoh penyiapan kerja, spesifikasi bahan, kaedah pembayaran dan jaminan kerja.
Namun begitu, terdapat juga kontrak yang bertulis walaupun melibatkan kerja-kerja berkos rendah. Selalunya melibatkan kerja yang diberikan organisasi kerajaan atau syarikat. Walaupun begitu kontrak adalah mungkin dalam bentuk ringkas seperti Inden Kerja. Ini kerana untuk memastikan kerja tersebut direkod sebagai aktiviti syarikat atau organisasi tersebut. Ini juga membolehkan syarikat memantau perjalanan kewangan dan bagi tujuan pengauditan dan mengelakkan penyelewengan aset syarikat.
Jika kontraktor melantik sub-kontraktor, kontraktor tersebut boleh dianggap sebagai kontraktor utama. Sub-kontraktor pula boleh sama ada dilantik pemilik atau kontraktor utama. Sub-kontraktor adalah kontraktor yang dilantik bagi menyiapkan sebahagian kerja di dalam kontrak kontraktor utama. Pembayaran akan dibuat oleh kontraktor utama jika lantikan dibuat kontraktor utama. Sebagai contoh kontraktor utama mendapat kontrak bernilai RM1 juta. Di dalam kontrak tersebut terdapat satu bahagian kerja bernilai RM200,000. Kontraktor utama boleh melantik sub-kontraktor bagi menyiapkan bahagian kerja tersebut dengan harga RM180,000. Namun begitu sub-kontraktor akan terikat dengan sub-kontrak. Sub-kontrak dibuat berasingan namun berdasarkan kontrak utama di mana tarikh penyiapan tidak melebihi tarikh penyiapan kontrak utama. Kontraktor utama akan melantik sub-kontraktor jika tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi, modal tidak memadai, menjimatkan masa dan tidak mempunyai kepakaran bidang tersebut.
Sub-kontraktor boleh juga dilantik pemilik kerja atau projek tersebut. Dalam hal ini, pembayaran kerja dibuat oleh pemilik. Mereka juga dipanggil sebagai Sub-kontraktor Dinamakan (Nominated Sub-contractor). Mereka akan menyiapkan bahagian kerja tertentu kontraktor utama. Harga kontrak kontraktor utama adalah tidak termasuk bahagian kerja sub-kontraktor tersebut.
Kontraktor yang baik adalah yang mampu mematuhi kontrak dan bertanggungjawab ke atas kerja yang dilakukan.
Salam.

No comments:

Post a Comment